Ciri-ciri Burung Belatuk

Burung belatuk ialah haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum : bertulang belakang (vertebrata), kelas : burung. Burung belatuk ialah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan badan yang dilitupi bulu pelepah. Paruh burung belatuk tidak bergigi dan keras seperti mata pahat.

Kebanyakan spesies belatuk Semenanjung Malaysia berwarna terang dan berwarna-warni. Bagaimanapun, belatuk betina biasanya kurang terang dan berwarna-warni (Madoc, 1976). Burung ini boleh dilihat bertenggek secara menegak di atas hujung ekornya yang keras di batang pokok sambil paruhnya yang keras dan berbentuk pahat mematuk batang pokok dengan laju berulang-ulang kali seperti tembakan mesingan (Madoc, 1976) untuk mencari makanan ataupun untuk melubangi pokok untuk membuat sarang. Bunyi patukannya yang agak kuat itu boleh kedengaran dari jauh. Selain itu, belatuk juga mengeluarkan bunyi teriakan kasar dan nyaring. Di udara, belatuk terbang secara berombak-ombak tetapi agak lemah (Tweedie, 1960, 1970; Madoc, 1976). Daripada tabiatnya yang suka mematuk dahan atau batang pokok itulah belatuk mendapat namanya (daripada imbuhan sisipan <el> dalam perkataan patuk).[2] Namanya dalam bahasa Inggeris (woodpecker) pun memberi gambaran yang serupa.

Saiz belatuk Semenanjung Malaysia berubah-ubah dari sebesar punai hingga lebih kecil daripada pipit.

Belatuk boleh didapati di pelbagai kawasan di Semenanjung dari bakau ke pergunungan. Ada yang berupa burung taman (Madoc, 1976).